Pintu Dunia Rumah Akhirat

Sabtu, 3 Mac 2012

Apa yang tidak baik itu bukan semestinya tidak baik

Redha ialah menerima dengan rasa senang hati dan lapang dada atas segala apa yang telah ALLAH tentukan, baik berbentuk musibah ataupun kesenangan.

Ada orang bila dapat senang dia kata Allah sayang dia, tapi bila dapat musibah dia kata Allah tak sayang dia. Namun sebenarnya dengan memberikan musibah Allah nak gilap dia jadi orang yang redha. 
"Tiada muslim yang tertusuk duri/yang lebih dari itu, kecuali Allah mencatat baginya kebaikan dan menghapus darinya dosa". (HR.Bukhari).

Rasulullah SAW bersabda : “Apabila seseorang mukmin diuji oleh Allah dengan sesuatu bencana pada tubuhnya, Allah Taala berfirman kepada Malaikat penulis amalnya: “Tulislah juga untuknya amal-amal soleh yang biasa ia lakukan;” kemudian jika Tuhan hilangkan bencana yang menimpanya itu, Tuhan jadikan ia hidup berkeadaan baharu – bersih suci dari dosanya; dan jika Tuhan mengambil nyawanya, diberikannya keampunan serta dikurniakan rahmat kepadanya”. (Anas r.a)

Nabi Ayyub yang diuji dengan sakit, baginda redha biarpun segala harta dan anak-anaknya hilang daripadanya dan Nabi Ayyub masih memuji Allah kerana memberinya banyak nikmat.
 

Dikisahkan pada zaman dahulu ada seorang lelaki tua miskin yang hidup dengan anak lelakinya yang masih muda serta seekor kuda betina. Orang-orang kampung sentiasa datang dan berkata kasihan kepadanya kerana kamu miskin, hanya ada seorang anak dan seekor kuda betina. Dijawab oleh lelaki miskin itu, "apa yang tidak baik itu bukan semestinya tidak baik".
Suatu hari kuda betinanya hilang, orang-orang kampung kembali berkata, kesihan kamu sudahlah miskin kuda pula hilang. Lelaki tua miskin itu berkata; "apa yang tidak baik itu bukan semestinya tidak baik". Kembalilah orang-orang kampung. Tidak berapa lama kuda betinanya yang hilang kembali kepadanya dengan membawa bersamanya 6 ekor kuda jantan liar. Lalu anak lelakinya melatih kuda2 itu supaya menjadi jinak. Lama setelah itu, anak lelaki ini patah kaki akibat jatuh kuda.
Orang-orang kampung berkata kesihan kepadamu, anakmu pula patah kaki. Lelaki itu tetap berkata yang sama; "yang tidak baik itu bukan semestinya tidak baik". Lama selepas itu negara tempat tinggal mereka akan diserang musuh lalu pemerintah mengerahkan setiap anak muda dari kampong itu turut serta dalam peperangan. Jadi semua anak-anak lelaki kampung telah dikerah menjadi tentera, tetapi disebabkan anak lelaki yang miskin ini kakinya patah tidaklah dia turut serta kerana dikecualikan.
Ditakdirkan semua anak muda yang ikut berperang semuanya tewas, jadi anak lelaki miskin ini ditakdirkan berkahwin dengan perempuan daripada anak orang yang kaya di kampung itu. Jadi di sinilah barulah orang-orang kampung mendapati bahawa jawapan lelaki miskin itu "yang tidak baik itu bukan semestinya tidak baik" itulah yang sebenarnya berlaku. Daripada seekor kuda bertambah jadi 7, anaknya tidak perlu ke medan perang kemudian dapat kahwin dengan anak orang kaya. Itulah hikmah di sebalik kejadian.

Pengajarannya ialah jika kita redha dengan ketentuan Allah, maka Allah juga redha kepada kita:

A100
Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar", dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar. (At-Taubah 9:100)

Setiap manusia hendaklah menerima segala ujian Allah dengan hati yang tabah, sabar dan redha kerana sikap yang demikian akan membawa kebaikan pada dirinya. Jika ia membiasakan dirinya dengan amalan yang baik semasa susah atau senang, sakit atau sihat kemudian tidak dapat melakukannya disebabkan kesakitan atau kemalangan yang menimpanya, maka Allah memerintahkan malaikat amal mencatat amalan yang baik yang tidak dapat dikerjakannya itu.

Sekiranya Allah menyembuhkan sakitnya atau menghilangkan bencana yang menimpanya itu maka Allah jadikan ujianNya itu sebagai “kaffarah” (yang menghapuskan dosa-dosanya yang telah lalu) serta dijadikan hidupnya berkeadaan baru, suci dan bersih daripada dosa. Namun sekiranya Allah S.W.T sempurnakan ajalnya dengan kemalangan itu, maka ia akan dikurniakan keampunan dan dilimpahkan rahmat kepadanya.

Jika Allah ambil salah seorang ahli keluarganya yang disayangi yakinlah semuanya itu hak milik Allah. Kita hanya diberi pinjam buat sementara. 

Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. (al-baqarah 2:216)

Kesimpulannya bersyukurlah bila diberi nikmat dan sabar serta redha bila diberi ujian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan